Tuesday 24 April 2012

Pertandingan Menulis Surat 1 Malaysia 2012

Pos Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) menganjurkan pertandingan menulis surat 1 Malaysia yang bermula 1 april hingga 15 Jun 2012. Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Penerangan dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pertandingan ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30 000. Untuk keterangan lanjut sila layari link di bawah dan sertailah beramai-ramai.

Syarat-syarat pertandingan
http://pos.com.my/pos/Files/upload/pdf/lampiran_a_-_syarat-syarat_pertandingan_menulis_surat_1malaysia_2012.pdf

Borang penyertaan
http://pos.com.my/pos/Files/upload/pdf/borang_penyertaan_pertandingan_menulis_surat_1malaysia.pdf





Monday 23 April 2012

Mari Membaca


23 April setiap tahun merupakan Hari Buku dan Akta Hakcipta Sedunia. Setiap pelusuk dunia pada hari ini menyambutnya dengan aktiviti membaca. Sehubungan dengan itu SMK Tambun turut tidak ketinggalan menyertai Aktiviti yang dianjurkan di perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak yang namakan “Let’s Read Together”.
Seramai  7 orang pelajar terdiri daripada Tingkatan 1 dan 2 menyertai program yang bermula jam 9.30 hingga 10.00 pagi diperkarangan perpustakaan. Program ini dianjurkan setiap tahun dan disertai oleh guru dan pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh Bandar Ipoh.
Para peserta yang mendaftar akan menerima senaskah buku  dari pihak perpustakaan. Mereka diberi masa selama 10 minit dan membaca dengan senyap secara serentak. Beberapa orang yang terpilih akan dipanggil ke hadapan pentas untuk berkongsi hasil dapatan dari bacaan mereka. Dalam aktiviti ini para peserta akan membawa pulang buku yang diberikan sebagai cenderahati.
Banyak aktiviti dijalankan selama seminggu bermula 23 April sehingga 28 April. Pelajar yang berminat untuk menyertai boleh hadir sendiri ke sana kerana pelbagai program berfaedah dianjurkan antaranya pameran buku yang menawarkan diskaun yang tinggi. Permainan, pertandingan, dan kursus pendek juga disediakan. 
Peserta dari SMK Tambun yang terlibat

Sesi membaca bersama

Sebahagian peserta yang mendengar sesi bercerita


Klik di sini untuk lebih banyak gambar

Ceramah Jenayah Juvana

Pada hari ini 23 April 2012, Kelab Pencegah Jenayah tSMK Tambun telah menganjurkan satu ceramah yang bertajuk ‘Jenayah Juvana’. 2 orang pegawai Polis telah dijemput hadir iaitu Inspektor Nozaini b Mat Noor iaitu Ketua Balai Polis Tambun dan Sarjan Abdullah Sidek b Harun selaku Timbalan Ketua Balai Polis Tambun.
Isu pertama yang disentuh oleh Inspektor Nozaini ialah kes buli dalam kalangan pelajar sekolah. Beliau berpesan agar seorang pelajar sepatutnya mematuhi peraturan sekolah. Yang paling penting ialah jangan menderhaka kepada guru kerana doa seorang guru akan dimakbulkan oleh Allah. Dalam ceramah ini bliau turut berkongsi beberapa pengalaman beliau sebagai pengajaran kepada pelajar.
Kebanyakan remaja yang nakal bermula dengan salah laku yang kecil dan akhirnya mereka akan semakin berani melakukan jenayah yang lebih besar. Inspektor  Nozaini berpesan agar para pelajar memikirkan apakah kesan bagi setiap tindakan yang mereka ambil. Setiap perilaku yang buruk akan mengundang padah yang menjejaskan masa depan pelajar itu sendiri.
Ceramah yang berlangsung selama 30 minit  ini begitu berkesan sehingga semua pelajar mendengar dengan penuh minat serta tepukan gemuruh diberikan sesudah ceramah berakhir. Diharapkan agar tauladan dan iktibar yang dikongsikan bersama akan berjaya memberikan kesedaran kepada para pelajar. Ini kerana masa depan pelajar amat bergantung kepada tindakan yang mereka ambil pada hari ini.
Inspektor Nozaini b Mat Noor
Ketua Balai Polis Tambun

Saturday 21 April 2012

Seminar Kemahiran belajar PMR “Mind Mapping” 2012.

Pada hari ini 21 April 2012 ( Sabtu ) telah berlangsung program Seminar Kemahiran Belajar PMR “Mind Mapping” . Program sehari yang melibatkan pelajar tingkatan 3 ini diadakan di Pusat Sumber SMK  Tambun. Program ini anjuran Unit Kecemerlangan Sekolah dengan Kerjasama Unit Bimbingan & Kaunseling dan Pusat Sumber.
Seramai 80 orang pelajar tingkatan 3 dari kelas 3 Wawasan, Aspirasi dan Inovatif menjadi peserta. Penceramah yang mengendalikan program ini ialah Tuan Haji Rosdi b Baharom dari Kolej Teknologi Darul Naim.
Program bermula seawal 8.00 pagi ini dimulai dengan ceramah motivasi dan seterusnya aktiviti membuat nota menggunakan teknik peta minda. Program ini sedikit sebanyak akan membantu pelajar menguasai teknik menguruskan maklumat, nota pelajaran dan menguasai ilmu dengan pandangan yang menyeluruh.  
Selepas solat Zohor dan makan tengahari program diteruskan dengan sesi Pembentangan Tugasan. Program tamat pada pukul 4.30 petang.
Berikut merupakan sebahagian gambar-gambar sepanjang program berlangsung.
Pagi-pagi sewaktu segar-bugar kita motivasi dulu.

Tuan Haji Rosdi Baharom dari Kolej Teknologi Darul Naim

Pengetua pun turut serta pagi-pagi lagi..
Pelajar menghasilkan peta minda  kumpulan mereka

Mari saksikan koleksi gambar keseluruhan program melalui link ini
https://picasaweb.google.com/106474008613297757123/MindMappingF32012

Wednesday 18 April 2012

Jadual sesi penggambaran untuk Majalah Inspirasi

Makluman kepada semua unit dan kelas yang terlibat. Sila bersedia untuk sesi fotografi yang telah dijadualkan. Pakai pakaian yang sesuai untuk sesi berkenaan dan sila tepati masa supaya sesi penggambaran berjalan dengan lancar.


Mesyuarat Panitia kali ke dua.

Berikut adalah jadual mesyuarat panitia kali ke 2 yang dicadangkan. 

Monday 16 April 2012

Majlis Akujanji Pelajar Sasaran Cemerlang 2012

Pada hari Isnin 16/4/2012 telah berlangsung majlis akujanji pelajar-pelajar sasaran SPM dan PMR 2012. Majlis ini bermula pada jam 8.00 pagi di Dewan Terbuka SMK Tambun. Majlis ini dimulakan dengan 2 slot ceramah oleh pelajar Cemerlang SPM 2011 iaitu Mohd Azzim Izani bin Mohd Azam dan Siti Shafika Nabila Bt Rosli.
Turut menyerikan lagi majlis ini ialah kehadiran yang dipertua PIBG SMK Tambun iaitu Tuan Hají Muhd Burhan bin Alahudin. Objektif program ini ialah untuk

1        Membantu Pelajar Sasaran untuk mempersiapkan diri menduduki PMR dan SPM 2012.
2        membentuk keyakinan diri pelajar-pelajar sasaran untuk mencapai kecemerlangan dalam PMR dan SPM 2012.  
3        Memberi perangsang kepada pelajar-pelajar sasaran dan pelajar-pelajar lain untuk memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik.

Selepas bacaan doa oleh Al fadhil Ustaz Amirul Jaili b. Yassin, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua, En Azmi bin Dahali. Seterusnya ucapan perasmian oleh Tetamu Kehormat iaitu Tn Hj Abdul Aziz bin  Mat Jais iaitu Penolong Pegawai (Bahagian Menengah), Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara sebagai mewakili Tn Hj Marazlen@Mar Azlan bin Amran  PPT, iaitu Pegawai PPD Kinta Utara.

Dalam Majlis ini seramai 31 orang pelajar PMR dan 12 orang pelajar SPM telah  dipilih sebagai pelajar yang disasarkan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR/SPM  2012. Pada tahun ini pembaharuan dibuat dimana pelajar berkenaan telah memilih sendiri seorang guru untuk menjadi mentor mereka. Dalam majlis ini pelajar yang diiringi oleh ibu bapa mereka telah menandatangani Borang Akujanji dihadapan mentor masing-masing.

Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar  berkenaan yang diketuai oleh saudara Afham bin Suhaimi (5Sc1).  Semoga dengan terlaksananya program ini akan meningkatkan lagi motivasi bukan sahaja kepada pelajar yang disasarkan tetapi juga kepada pelajar lain yang tidak tersenarai.
Mohd Azzim Izzani (9A- SPM 2011) berkongsi petua kecemerlangan beliau.


Siti Shafika Nabila juga pelajar Cemerlang SPM 2011

Ucapan Pengetua, En Azmi Bin Dahali
Ucapan Perasmian oleh Tn Haji Abdul Aziz b. Mat Jais, 

Pelajar ini memilih Tuan Pengetua sendiri sebagai Mentor beliau.

Sebahagian pelajar yang menyaksikan majlis akujanji berlangsung.


Inilah sebahagian isi borang akujanji yang ditandatangani.

Laungan Ikrar oleh pelajar sasaran cemerlang. 
Mari lihat sebahagian lagi gambar-gambar pada pautan berikut

Monday 9 April 2012

Tahniah pasukan Puisi dan Lagu

Pasukan Puisi dan Lagu SMK Tambun di bawah bimbingan Puan Rosniwati telah bertanding di peringkat Zon 6. Dalam pertandingan tersebut pasukan sekolah kita telah berjaya mendapat tempat ke 3. Pasukan ini juga berjaya meraih anugerah Lagu Terbaik. Tahniah diucapkan kepada ahli-ahlinya iaitu 
Mohd Afwan Samad (5LK1)
Mohd Syafiq Mohd Wildan (5LK2)
Fransisca Ann a/p John (5A1)
Faridah Ahmad (4Sc1)
Maisarah Alias (4Sc1)
Nurul Aqilah latif (4Sc1)

Selamat maju jaya demi SMK Tambun.

Selamat datang PK HEM yang baru

Hari ini 9/4/12 Isnin kita telah menerima kehadiran Guru Penolong Kanan (HEM) yang baru iaitu Puan Zuraida bt Mohd Zulaimi yang menggantikan Cik Hajah Noor Aziyah Ayub. Beliau sebelum ini merupakan PK HEM di Sekolah Raja Perempuan, Ipoh.

Puan Zuraida dari Opsyen Matematik dan beliau merupakan pemeriksa kertas Matematik Moden SPM yang berpengalaman. Semoga dengan kehadiran beliau akan memantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan pelajar di sekolah kita. Diharapkan agar Puan Zuraida gembira dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat di SMK Tambun seterusnya berkhidmat dengan cemerlang di sini.

Friday 6 April 2012

Majlis Perpisahan PK Hem

Pada pagi ini, Jumaat 6/4/12 berlangsung majlis meraikan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tambun yang akan bertukar sekolah. Beliau ialah Cik Hajjah Noor Aziyah bt Ayub yang akan bertukar ke SMK Jelapang Jaya.
Penghargaan daripada Aisyah Zulkifli selaku Ketua Pelajar

Cik Hajjah Noor Aziyah berkhidmat sebagai PK Hem di sekolah ini mulai tahun 2008. Salah satu perubahan besar sepanjang khidmat beliau di sini ialah membudayakan amalan membaca Tafsir Alquran dalam kalangan warga sekolah. Beliau berusaha mendapatkan bekalan tafsir dengan kadar separuh harga pasaran untuk seluruh warga muslim di sekolah ini. Dalam ucapannya beliau berharap agar budaya ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Kehadiran beliau juga menaikkan prestasi matapelajaran Matematik Tambahan dimana seramai 15 orang pelajar SPM 2010 berjaya memperoleh A dalam subjek berkenaan.
Semoga beliau berbahagia dan terus cemerlang di sekolah yang baru.
Banyak lagi gambar dapat anda saksikan melalui pautan berikut.
http://www.facebook.com/photo.php?fbid=355869477792320&set=a.355869011125700.79434.100001078128953&type=1&theater

Thursday 5 April 2012

Program Pelaksanaan Guru Penyayang


TUJUAN

Pelaksanaan Guru Penyayang adalah bertujuan agar guru mengamal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.
KONSEP
1. Penyayang membawa maksud perbuatan atau perlakuan menyayangi, mengasihi, dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain. Ini bermakna Guru Penyayang adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian (concern) terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya (every child matters) dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.
2. Guru penyayang menjiwai bahawa murid mereka merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan disayangi setiap masa.
3. Membudayakan amalan penyayang merupakan sifat profesional guru dalam perhubungannya dengan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat.
Satu Taklimat  tentang pelaksanaan Program ini telah disampaikan oleh Kaunselor sekolah iaitu En Mohamad Zuhaimi b. Zakaria kepada guru-guru sewaktu perjumpaan Contact Time. 
Selamat menjalankan tanggungjawab anda.

Monday 2 April 2012

Tahniah pasukan olahraga sekolah





Tahniah diucapkan kepada ahli pasukan olehraga sekolah yang berjaya merangkul pelbagai anugerah dalam kejohanan MSSD yang lalu. Sehingga ke hari ini pasukan olahraga merupakan antara kumpulan yang teraktif dalam mengharumkan nama sekolah. Mereka telah diraikan dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan SMK Tambun yang baru pada hari Isnin 2/4/12 yang lalu. Semoga dengan pencapaian ini akan menyuntik semangat unit-unit lain untuk sama-sama menaikkan nama sekolah kita.

Banyak lagi gambar anda dapat lihat melalui pautan di bawah
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.289693631107901.69338.100002017995923&type=1