Saturday, 29 April 2017

Sejarah bandar Ipoh dan pekan Tambun

☆ SEJARAH IPOH PERAK ☆
Sumber: edaran mesej whatsapp

Sejarah Ipoh IV : Lahirnya Sebuah Bandar

Menurut tulisan Errington de la Croix pada tahun 1880, Ulu Kinta ialah kawasan di hulu Pengkalan Pegoh adalah kawasan pendalaman yang berkedudukan lebih jauh dari laut di mana kurang dikerjakan oleh pelombong yang lebih menumpukan perlombongan di kawasan hilir. Ia merupakan kawasan simpanan bijih timah masa hadapan yang pastinya sama banyaknya dengan mana-mana kawasan dalam negeri Perak.

De la Croix menyebut bahawa lombong-lombong utama di Ulu Kinta terletak di Sungai Pari sehingga Sungai Chamar (Chemor) dan menggaji 66 pekerja Cina. Mereka melombong dengan cara mendulang. Mereka didapati cukup berpuas hati dengan sekadar mendulang di sungai-sungai. Menurut laporan, seseorang yang mendulang beberapa jam di sungai-sungai itu mampu mengutip 15 kati bijih timah yang bernilai $2.

Pada buku McNair tahun 1878 pula, berdasarkan peta JWW Birch, terdapat dua penempatan bersebelahan di pinggir sungai  di Ulu Kinta iaitu 'Epu' dan 'Palau' yang membawa maksud Kampung Ipoh dan Kampung Paloh.

Kampung Ipoh disebut sebagai perkampungan orang Sakai manakala Kampung Paloh sebahagiannya dihuni orang-orang Melayu. Walaupun kawasan Kampung Paloh itu sebenarnya meliputi beberapa buah kampung termasuk Kampung Ipoh.

Kampung Ipoh dinamakan sempena sebatang pokok Ipoh atau Upas yang tinggi, kelihatan dari sungai.

Tempat pendaratan pertama di Kampung Paloh ialah di kawasan yang hari ini letaknya lorong tepi sungai yang menghubungkan Jalan Sultan Iskandar dan Masjid Panglima Kinta.

Che Hussin dari keluarga Laksamana membina kubunya di sini yang pada ketika itu merupakan had penghujung boleh dilalui kapal di Sungai Kinta. Deretan rumah telah dibina di sini pada tahun 1876. Kawasan pendaratan kedua juga dibina di sini  dan di kawasan tersebut lah letaknya kini Jalan Laxamana.

Tempat pendaratan ketiga pula terletak di Kampung Mesjid yang kini letaknya Wisma Taiko, berhampiran bar pertama di Negeri-Negeri Melayu bersekutu, FMS Bar. Masjid di sini telah dialih jauh pada tahun 1902 ke tempat bernama Bandar di Teluk Anson dan di atas tapaknya pernah terbina sebuah panggung wayang bernama Sun Cinema.

Di hulunya lagi, letaknya kawasan gunung batu kapur Gunung Cheroh, yang diselubungi misteri berkait dengan dunia jin dan bunian pada masa itu hingga ke hari ini.

Kawasan Ulu Kinta ini atau yang hari ini dikenali Mukim Hulu Kinta ini tertakluk sepenuhnya di bawah pentadbiran Datuk Panglima Kinta.

Pada tahun 1882, Gabenor Weld datang melawat Ipoh, yang dikenali sebagai 'perkampungan besar membangun' ini dan menemui dua ketua iaitu Datuk Muda Muhammad Yusuff dan Datuk Hussin.

"...dan orang ramai berhimpun di luar rumah dengan kumpulan muzik, panji-panji dan pertunjukan-pertunjukan. Isteri Datuk menjemput saya di tangga rumah dan membawa saya ke bilik yang disediakan - dengan kecantikan tabir sutera, berpermaidani dan tilam bersulam cantik. Saya berikan kerbau seekor untuk dikendurikan dan untuk orang Sikh, saya berikan kambing."

Ketika lawatan Weld, dua buah jalan sedang dibina di Ipoh. Ipoh - Kuala Kangsar dan Ipoh - Sungai Raia.

Kampung di Ipoh telah didiami beberapa keluarga Sikh yang terdiri dari anggota polis dan pengusaha kereta lembu. Penduduk Cina pula telah memiliki rumah tokong sendiri.

Pendatang Cina terawal di Ipoh ialah dari kalangan Cina Kantonis Gee Hin yang telah menerima kesepakatan dari perjanjian damai Perang Larut.

Kapitan Chin Ah Yam , seorang Kantonis Toi San dikatakan telah datang ke Ipoh dari Taiping untuk membantu menubuhkan asas komuniti Cina di Ipoh.

Pada tahun 1883, 15 pedagang Muslim termasuk orang Mendailing, bersama 5 syarikat perdagangan Cina menghantar petisyen bersama kepada Majistret Kinta, R.D. Hewett supaya melarang bot-bot dagangan runcit berdagang di Ipoh kerana merosakkan perniagaan mereka atas alasan undang-undang seumpamanya telah terpakai di Batu Gajah dan beberapa tempat lain.

Pada tahun 1884 bermulanya perubahan drastik Ipoh perpindahan berlaku dari Taiping setelah siapnya jalan baru Taiping- Kuala Kangsar-Ipoh yang berhujung di pinggi

r Sungai Kinta bertentangan Kampung Ipoh.

De Morgan mengesahkan bahawa Hugh Low menyebut Ipoh sebagai pusat orang melayu terbesar di Lembah Kinta.

"Kampung tersebut menempatkan beberapa kilang melebur timah dari bijih yang diperolehi dari lombong-lombong berdekatan. Ke arah utara, sungainya sukar dimudiki terutamanya pada musim kering (Februari hingga September)."

Keluarga Datuk Panglima Kinta telah mendiami kawasan ini sekurang-kurangnya sejak zaman Datuk Panglima Ketiga yang dikenali sebagai Tok Paloh pada tahun 1770an lagi.

Pada tahun 1884, Datuk Panglima Kinta Kesembilan, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang berpindah dari Pengkalan Pegoh ke Tanjong Rengkong (hari ini di kawasan Tasek) selepas kejatuhan Sultan Ismail, meninggal dunia.

Beliau digantikan oleh anak saudaranya Muhammad Yusuff, anak Datuk Panglima Kinta Kelapan, Datuk Ngah Abdul Lassam atau dikenali sebagai Tok Ipoh.

Oleh kerana Datuk Muhammad Yussuff berasal dari pasak Paloh  dia mempunyai peluang besar ke atas kuasa tanah di kawasan tebing sebelah barat Sungai Kinta dan di kawasan Kampung Paloh. Ibunya dari Kampung Kuchai, anak kepada Che Ngah Sana. Sepupu Yusuff sebelah ibunya mengahwini Che Hussin, keluarga Laksamana. Pada tahun 1894, gelaran Orang Kaya-Kaya Laksamana Perak diadakan dan dianugerahkan kepadanya dan dijadikan ahli Majlis Negara Perak.

Di bawah Datuk Panglima Kinta Kesepuluh inilah pembangunan Ipoh menjadi sangat pesat. Datuk Muhammad Yusuff menjawat jawatan Datuk Panglima Kinta  dari 1884 hingga meninggal dunia pada 1903. Beliau aktif membagunkan hartanah di Ipoh dan Paloh yang mana kebanyakannya adalah milik keluarganya. Pada tahun 1886, Hugh Low melaporkan, Ipoh mengalami pembangunan yang sangat pesat.

".. melihat pembangunan di tanah-tanah milik Datuk Panglima Kinta, yang dibina sendiri olehnya, dengan jalan lebar dan lurus, memang layaklah dia diberi pujian.."- Hugh Low

Kerajaan membina rumah rehat di Ipoh pada tahun 1886 dan membina mahkamah pada tahun 1888. Menjelang 1889, Ipoh telah menjadi bandar kedua terbesar di Kinta.

" Terdapat 227 buah rumah, 50 daripadanya dibina dari batu bata dan tanah dengan 175 rumah beratap genting atau atap besi. Tanah yang dibangunkan bandar ini dahulunya tanah kampung yang sebahagian besarnya dimiliki keturunan Datuk Panglima Kinta. Dengan kelulusan pihak percukaian dan pihak majistret, Datuk Panglima memecahkan tanah tersebut kepada lot-lot dan menjualnya kepada orang Cina dengan haga $25 setiap lot yang mana harganya harini telah meningkat menjadi $200 hingga $300 bagi setiap lot. " - Perak Government Gazette 1889 Bil. 333

Kawasan inilah yang kini dipanggil Pekan Lama atau Old Town bagi bandaraya Ipoh.

Siapnya Jambatan Hugh Low pada tahun 1890 membolehkan kereta lembu melintasinya dari dan membolehkan perjalan dari Lahat ke Gopeng.Serentak itu juga, jalan raya diturap sepanjang 11 batu menghubungkan Ipoh dengan Batu Gajah dan membolehkan pemanduan lancar dari Taiping hingga ke Batu Gajah.

Dalammasa yang sangat singkat, Ipoh telah mengatasi Gopeng menjadi bandar kedua terbesar di Perak selepas Taiping.

"Ipoh menjadi bandar yang layak dengan 340 rumah dan populasi kira-kira 4,000. Rumah atap telah digantikan dengan rumah batu di mana 20 lagi sedang dibina di kawasan ini yang mempunyai udara yang sangat segar. Sebuah panggung Cina didirikan pada tahun yang sama yang mampu memuatkan 1,000 penonton."- Perak Government Gazette 1892 Bil. 675-6

Panggung Cina ini dibina oleh Yau Tet Shin menjadikan ia tarikan kepada pelombong Cina dari kawasan berbatu-batu jauhnya. Disekitarnya menjadi pusat hiburan yang menyediakan rumah pelacuran, tempat menghisap candu, kedai arak, kedai judi dan pajak gadai. Inil menarik penghijrahan besar-besaran  kuli-kuli Cina di Lembah Kinta untuk bertumpu di Ipoh

Sebuah pasar dibina pada tahun 1891 di hujung Market Street di pinggir Sungai bagi memudahkan pembuangan sisa dan pengangkutan masuk dagangan melalui bot.

Ipoh menjadi bandar yang terlebih populasi dengan rumah papan dan pondok kayu dibina rapat dan ini telah mengakibatkan kebakaran besar pada 1 Jun 189

2 yang memusnahkan 123 buah rumah iaitu sepertiga bandar ini dengan kerugian ditaksirkan antara $80,000 hingga $100,000.

Bulan berikutnya ketika Pemangku Residen Treacher melawat Ipoh, dia diserbu dengan permohonan bantuan kewangan untuk membangunkan semula rumah-rumah yang musnah dalam kebakaran tersebut. Selain itu, ketika Walker, Komandan Sikh Perak memeriksa Ipoh pada hujung 1892 dia terkejut apabila mendapati :

"... perkampungan Ipoh telah membesar menjadi sebuah bandar tak terkawal - 396 buah rumah dengan populasi seramai 4,000. Banci tahun 1891 memberikan angka 3,184. Jumlah rumah dan penduduk ini meningkat setiap hari. Rumah-rumah di sini lebih berkualiti binaannya dari mana-mana tempat di dalam negeri. Penghijrah semakin bertumpu ke sini. Sungainya dipenuhi perahu yang sarat dengan bahan binaan dan kawasan ini telah menjadi beraneka ragam".

Menurut sejarawan Muzaffar Tate, Ipoh hari ini atau lebih tepat, Pekan Lama (Old Town) adalah binaan  selepas peristiwa kebakaran 1892 tersebut. W.P. Hume, Pengutip Hasil Cukai Kinta adalah orang yang bertanggungjawab membina semula Ipoh hari ini selepas kebakaran besar tersebut.

Ini kerapa W.P. Hume bertanggungjawab menyeragamkan semula tapak rumah dan meluruskan semula lorong-lorong bagi bersesuaian dengan plan dan ia merupakan asas kepada susun atur Pekan Lama di Ipoh hari ini.

W.P. Hume juga menguruskan plan justifikasi semula susun atur rumah dengan jalan selebar 50 hingga 60 kaki dan memastikan pemilik tapak membayar lebihan tanah yang mereka peroleh selepas penyeragaman sebelum geran hakmilik dikeluarkan kepada lot-lot baru ini tanpa mengeluarkan wang pampasan atau pengambilalihan tanah.

"Tugas saya tidak mudah, saya tiada kuasa undang-undang untuk mengutip atau membayar wang serta merubah sempadan. Saya perlu bergantung kepada pengaruh sendiri dan keyakinan yang terinspirasi. Mujur tiada yang mempertikaikan malah pihak Audit meluluskan urusan tersebut."

Hanya setahun selepas itu, kawasan bandar Ipoh dan ciptaan Datuk Panglima Kinta Yusuff dan kawasan sekitarnya telah dihuni 11,000 orang penduduk.

Di bandar Ipoh, separuh rumah atap nipahnya telah dirobohkan dan diganti dengan rumah batu dengan 136 telah disiapkan manakala 25 sedang dibina. Kos setiap rumah batu ini bernilai kira-kira $3,000.

Pada 20 Februari 1893, Residen Perak, Frank Swettenham melakukan kunjungan penting ke Ipoh. Dia memeriksa kawasan bandar dan pasar bersama-sama Pembantu Majistret E.Tranchell, melawat ke hospital dengan pakar bedah kanan daerah, Leftenan H.C Metcalfe dan memeriksa kerja-kerja keretapi bersama jurutera residen C.R. Hanson.

"Ipoh telah meningkat saiznya lima kali ganda dalam tempoh 2 tahun, kepantasan yang tertinggi dari mana-mana bandar di Semenanjung. Kini terdapat lebih 5,000 orang penduduk dalam bandar ini. Juga terdapat pekan, lombong, kampung dan dusun di seluruh kawasan 12 batu yang memisahkan Ipoh dan Batu Gajah. Antara Ipoh dan Batu Gajah, terdapat pergerakan kenderaan bertali arus termasuk pejalan kaki dan ditambah pula dengan kecemerlangan sistem keretapi." - Perak Government Gazette 1893 Bil. 156

Swettenham mengarahkan Majistret Daerah untuk meluluskan pembesaran pasar, dan penubuhan Lembaga Sanitari Ipoh. Pada tahun tersebut juga kerja-kerja pembinaan rumah rehat yang baru, balai polis baru dan sebuah Residensi dibuat. Pembinaan rumah kelab ditenderkan kepada seorang kontraktor Cina bernama Eng Soon.

Kelab, rumah rehat dan kuarters kerajaan dibina di atas tanah berhampiran stesen keretapi. Satu-satunya dari kalangan bukan orang Eropah yang memiliki rumah di sini ialah Datuk Panglima Kinta Yusuff. Manakala Residensi dibina di pinggir selatan Gunung Cheroh berhampirang lengkungan Sungai Kinta - sebuah kawasan yang mungkin dipilih sendiri oleh Swettenham kerana dia kerap kali menyebut bahawa pemandangan sungai dan lanskap di sini adalah yang tercantik yang pernah dilihatnya di seluruh Malaya.

Sementara itu, Lembaga Kebersihan Ipoh atau Ipoh Sanitary Board ditubuhkan pada 1894 dengan dipengerusikan oleh Pakar Bedah Daerah, Dr. C.H. Wheeler.Ahli yang lain pula i

alah pembantu majistret H.L. Hulbert, ACP Leftenan Metcalfe, pembantu Penjaga Kaum Cina, Cowan, Datuk Panglima Kinta, Leong Fee, Yau Tet Shin dan J.F Ward sebagai setiausaha.

Pada tahun tersebut juga, Majistret Daerah, J.B.M Leech mengusulkan untuk meluruskan Sungai Kinta yang melibatkan pemindahan Tokong Lama Paloh. Dia menemubual pembesar-pembesar dan pemimpin Cina tentang rancangan tersebut dan para peniaga-peniaga besar ini berbincang sesama mereka sebelum mengemukakan cadang mereka.

Pada tahun 1895, rumah-rumah di Hugh Low Street perlu dirobohkan untuk kerja pelebaran jalan kerana jalan di bahagian timur jambatan Hugh Low terlalu sempit, merbahaya dan pembinaan kaki lima rumah yang memasuki rizab jalan menyempitkan lagi keadaan jalan.

Dalam tahun 1894 kawasan yang bandar ditetapkan dibawah Lembaga Kebersihan Ipoh ialah jalan baru daripada kelab, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, rumah baru Datuk Muda Wahab, beberapa bendang di Jalan Gopeng, lintasan keretapi di Changkat Pari dan zon pemampan 200 ela dari jalan awam.

Pada September 1897, kawasan perbandaran Ipoh diluaskan dengan beberapa penanda sempadan antaranya laluan keretapi yang membelah Gunung Cheroh, jambatan di Sungai Pari, laluan baru kereta lembu ke Selibin dan 20 rantai selepas cantuman Sungai Pari ke Sungai Kinta.

Hartanah Ipoh menjunam pada tahun 1896 tetapi naik semula pada 1897 selepas kerja bekalan air siap. Air dari gunung menjadikan Ipoh sebuah bandar yang cukup menyegarkan. Selepas kerja bekalan air siap, cukai pintu dinaikkan sewajarnya.

Sebuah pejabat pos dan telegraf yang paling elok seumpamanya di Perak dibina pada 1897.

Ipoh terus membangun dengan pesat di bawah Residen Perak E.W. Birch dari 1905 - 1910.

Hugh Low St. 1887, dibina oleh Datuk Panglima Kinta Yusuff.

- Budak 18 - 
#JomShare  #PerakTanahTumpahNyaDarahKu

No comments:

Post a Comment